AMPANG JAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyita sebanyak 68 kenderaan yang dipandu warga asing dipercayai disewa daripada pemilik tempatan di Jalan Tasik Tambahan, di sini hari ini.
Selain sitaan kenderaan, seramai 49 pemandu warga asing turut ditahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) yang dilaksanakan bersama Jabatan Imigresen (JIM).
Timbalan Pengarah JPJ WPKL Erick Jusiang berkata, antara kesalahan dilakukan ialah tidak memiliki lesen memandu, tiada cukai jalan, kenderaan tiada perlindungan insurans dan salah guna lesen kenderaan motor.
Menurutnya, kebanyakan kenderaan merupakan milik warga tempatan yang disewa kepada warga asing dengan kadar harga tertentu.
“Dalam operasi hari ini, daripada 564 kenderaan yang diperiksa, sebanyak 280 saman dikeluarkan selain 68 kenderaan disita melibatkan 64 motosikal, dua kereta dan dua lori.
“Kita dapati kebanyakan kenderaan yang dipandu ini disewa atau dijual oleh pemilik tempatan kepada warga asing.
“Sekiranya terdapat kesalahan yang dikesan, pemandu dan pemilik akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya pada sidang akhbar Ops Pewa, di sini hari ini.
Justeru, Erick berharap agar semua pemilik kenderaan tidak membenarkan kenderaan persendirian digunakan oleh warga asing.
Dalam pada itu, katanya, penahanan 49 warga asing yang berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun dibuat atas kesalahan tiada dokumen peribadi dan dokumen tamat tempoh.
“Ia membabitkan 19 warga Myanmar, Pakistan (13), Bangladesh (9), India (8) dan seorang warga Indonesia.
“Kesemua yang disyaki akan menjalani tapisan (pengesahan dokumen) sebelum dibawa ke Depot Imigresen Sungai Buloh,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE