fbpx

GPS umum calon selepas SPR bermesyuarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abang Johari ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Loji Gas Rosmari-Marjoram di Tanjung Kudurong, di sini hari ini.

BINTULU – Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak, di sini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

Premier yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata calon tersebut adalah daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Kita sudah beritahu SPR bahawa kekosongan berlaku di DUN Jepak, jadi SPR akan bermesyuarat bagi menentukan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

“Kita akan letak calon daripada PBB,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Loji Gas Rosmari-Marjoram di Tanjung Kudurong, di sini hari ini.

Setiausaha SPR Datuk Indera Ikmalrudin Ishak menerusi satu kenyataan baru-baru ini, berkata SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas PRK DUN Jepak pada 25 September nanti, yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

“Tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincangkan,” katanya.

Indera juga mengesahkan SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak.

Katanya selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak yang memperuntukkan kekosongan luar jangka kerusi DUN N.67 Jepak, ia perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut dipastikan oleh SPR.

PRK DUN Jepak perlu diadakan susulan kematian Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu, yang menyandang kerusi itu selama enam penggal sejak 1996. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI