KOTA KINABALU – Ekoran dipercayai terperangkap, dua beradik ditemui rentung dalam kebakaran babit enam rumah di Kampung Pulutan, Manggatal hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Jayraiyen Jabri, 5 dan abangnya Jackron, 6, ditemui sejurus api berjaya dipadamkan pasukan bomba dan penyelamat dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 1.03 tengah hari sebelum seramai 35 pegawai dan anggota dari BBP Lintas dan Kota Kinabalu bersama jentera dikerahkan ke lokasi kebakaran.
“Operasi pemadaman kebakaran dilakukan sebaik anggota bertugas tiba di lokasi. Kebakaran membabitkan enam rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya. Terdapat dua kanak-kanak ditemukan rentung di lokasi kebakaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa keluar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, kerja pemadaman masih diteruskan dan operasi terkawal pada pukul 2.53 petang.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – KOSMO! ONLINE