KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari enggan meletakkan kesalahan di atas bahu Ahmad Syihan Hazmi ketika tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale pada aksi pertama Liga Juara-juara Asia (ACL) Kumpulan I, malam kelmarin.
Menurut Solari, kesilapan dan kecuaian adalah resmi dalam bola sepak dan dia tidak menjadikan itu alasan setelah kesemua pemain sudah memberikan yang terbaik dalam tempoh 90 minit berdepan kelab dari Jepun itu.
“Ahmad Syihan mungkin melakukan keputusan yang kurang bijak tapi saya enggan salahkan dia kerana keputusan dibuat secara tidak diduga, yang akhirnya menghukumnya.
“Ini kerana dalam perlawanan yang sama Ahmad Syihan turut menjadi penyelamat kepada pasukan setelah menafikan percubaan keemasan lawan tapi itu tidak diperkatakan.
“Saya menganggap ini bukan malam kami, saya tidak suka kekalahan tapi jika memilih untuk kalah, ini adalah caranya. Ini kerana kami sudah bermain dengan baik dan hampir mengejutkan pasukan pelawat,” katanya.
Pada perlawanan itu, tindakan Ahmad Syihan yang cuba keluar untuk menangkap bola tidak kesampaian dan Tatsuki Seto menanduk bola itu kepada Marcinho yang melakukan sepakan gunting ke arah pintu gol yang tidak berkawal itu pada hujung babak pertama.
Ditanya mengenai aksi Shane Lowry yang jarang diturunkan dalam saingan Liga Super, Solari memberitahu, pemain kelahiran Australia itu beraksi konsisten sehingga wisel penamat selain cemerlang mengeluarkan bola daripada melintasi garisan gol pada babak kedua perlawanan itu.
“Shane (Lowry) seorang pemain yang berdedikasi dan sentiasa beri komitmen melebihi 100 peratus. Sepanjang dua minggu ini, dia bekerja keras dan malam ini dia tunjukkan kualiti sebenarnya di atas menjadikan benteng pertahanan JDT lebih kukuh,” katanya.
Ketika disoal mengenai keputusan video bantuan pengadil (VAR) ketika Arif Aiman Hanapi didakwa dikasari penjaga gol, Jung Sung-ryong, pengendali kelahiran Argentina itu enggan mengulas mengenai insiden itu.
Pengadil perlawanan Abdulrahman Al-Jassim dari Qatar mengesahkan tiada kekasaran terhadap Arif Aiman oleh setelah meneliti sistem VAR, sekali gus menafikan peluang JDT untuk mendapatkan sepakan penalti.
“Saya percaya kepada pihak profesional yang mengendalikan VAR membuat keputusan tepat, jadi saya enggan mengulas lanjut perkara itu, saya anggap kami tidak bertuah hari ini,” katanya.