PETALING JAYA – Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Turkish House, New York, hari ini sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-78.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam pertemuan itu, kedua-dua negara sepakat untuk menggandakan usaha bagi membendung sentimen Islamophobia yang semakin menggila.
“Kami senada bahawa usaha memberi penjelasan perlu dipergiat. Sekiranya isu mengenai Islam ini tiada jalan kesudahan, maka natijahnya amat teruk untuk masa hadapan khususnya generasi akan datang.
“Turut dibincangkan semasa pertemuan ini adalah keperluan untuk meningkatkan kerjasama dua hala terkait bidang pelaburan dan perdagangan antaranya melibatkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Ia bagi membesarkan terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokçen (ISG), kerjasama ekosistem pertahanan antara kedua-dua negara,”katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, hari ini.
Pada masa sama, Anwar turut menjemput Erdogan untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia, sebelum hujung tahun ini.
“Besar harapan saya agar hubungan dua hala dan jalinan kerjasama Malaysia dan Turkiye yang telah sekian lama terjalin akan kekal utuh dalam semangat persahabatan yang mampu membawa manfaat kepada kedua-dua negara.
Sementara itu, dalam hantaran di laman Facebook juga, Anwar turut berkesempatan bertemu Presiden Iran, Seyed Ebrahim Raisi.
Dalam pertemuan itu katanya, Malaysia berhasrat memperkukuh hubungan dua hala dengan Iran melalui kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, keterjaminan makanan, sains dan teknologi serta menerokai potensi kerjasama baharu.
“Malaysia juga mengulangi komitmen untuk mengadakan mesyuarat suruhanjaya bersama (JCM) dan mesyuarat suruhanjaya ekonomi (JEC) antara dua negara bagi menghalusi semua potensi skop kerjasama.
“Semoga hubungan Malaysia dan Iran akan terus diperkukuh demi manfaat bersama, insya-Allah,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE