fbpx

Agong berkenan melawat NWRC Sungkai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah (tengah) bersama Sultan Nazrin (kiri) dan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan melepaskan burung Murai Batu ketika lawatan ke Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Sungkai, Tanjung Malim, hari ini.

TANJUNG MALIM – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah berkenaan memandu sendiri kenderaan rasmi dan tiba di pusat berkenaan pada pukul 11.22 pagi.

Keberangkatan Seri Paduka diiringi Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada lawatan sulung Seri Paduka ke NWRC, baginda berkenan menerima sembah taklimat berkaitan operasi pusat itu oleh Pengarah Bahagian Ex-Situ Perhilitan, Dr Pazil Abdul Patah.

Seri Paduka bersama Sultan Nazrin dan Tengku Hassanal kemudiannya dibawa menyaksikan inisiatif konservasi hidupan liar termasuk Harimau Malaya, beruang matahari, tapir dan seladang.

Sebagai simbolik lawatan rasmi baginda ke NWRC, Seri Paduka bersama Sultan Nazrin dan Tengku Hassanal turut berkenan melepaskan burung murai batu atau nama saintifiknya, copsychus malabaricus.

Burung murai batu tersebut merupakan hidupan liar rampasan yang telah selesai kes dan tiba masanya dilepaskan semula ke habitat asal.

Lawatan Seri Paduka ke NWRC bertujuan untuk mengetahui dengan lebih jelas usaha konservasi hidupan liar termasuk Harimau Malaya yang diselamatkan daripada kecederaan, penyeludupan, rampasan dan serahan di Semenanjung Malaysia.

NWRC merupakan salah sebuah pusat tanggungjawab di bawah Perhilitan dan ditubuhkan bagi memenuhi keperluan untuk mewujudkan pusat menyelamat iaitu penempatan sementara bagi hidupan liar yang dirampas di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

Pada masa ini, NWRC juga memberi fokus kepada aktiviti-aktiviti konservasi Harimau Malaya secara ex-situ seperti menjalankan operasi menyelamat, rehabilitasi, husbandri, rawatan dan kawalan penyakit, penyelidikan ex-situ dan pembiakan menggunakan teknologi terkini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI