fbpx

13 pemandu ‘lalok’ dicekup polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan berat dalam Op Perdagangan Kontinjen Johor yang dilakukan di seluruh negeri hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 13 pemandu kenderaan berat ditahan setelah mendapati memandu di bawah pengaruh dadah dalam Op Perdagangan Kontinjen Johor yang dijalankan di seluruh negeri ini.

Dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Johor sejak 12 tengah malam tadi hingga pukul 8 pagi hari ini turut menahan dua pemandu lori yang merupakan orang dikehendaki.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua 15 suspek yang ditahan dalam operasi khas itu berusia lingkungan 22 hingga 48 tahun.

“Dalam Op Perdagangan Kontinjen Johor itu, seramai 15 individu ditahan dengan dua daripadanya adalah individu yang dikehendaki setelah terlibat dalam kes yang disiasat di bawah Seksyen 379A kanun keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sementara itu, 13 individu lain yang ditahan didapati positif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kamarul Zaman berkata, dalam operasi sama, sebanyak 730 kenderaan perdagangan diperiksa dengan 210 keping saman Pol.257 dikeluarkan.

Beliau berkata, dalam operasi itu, turut dikesan sebuah lori perdagangan yang membawa lebih muatan sebanyak 35 peratus.

“Op Perdagangan dijalankan seluruh negeri ini bagi mengambil tindakan tegas terhadap semua pemandu dan oemilik kenderaan perdagangan yang masih tegar dan ingkar untuk patuh peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

“Fokus utama operasi ini adalah untuk menyelesaikan isu awam yang sering diterima berdasarkan aduan awam dan viral di media sosial berkaitan kenderaan perdagangan,” katanya.

Tambahnya, operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan dengan konsep ‘total enforcement’ oleh JSPT Johor bersama jabatan dan agensi penguatkuasa lain.

Katanya, ia bagi memastikan pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Tiada istilah pilih kasih atau ‘double standard’ dalam penguatkuasaan undang-undang kerana ianya dicipta untuk dipatuhi, bukan untuk dicabuli oleh sesetengah pihak yang rakus dan tamak” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI