BEIJING – Seorang wanita di China meluahkan rasa kecewa apabila menemui sepucuk surat tawaran kemasukan ke sekolah menengah yang disembunyikan oleh bapanya, 17 tahun lalu.
Akhbar South China Morning Post melaporkan, Wang Yanxia, 32, mendedahkan kejadian itu dalam satu hantaran di aplikasi Douyin awal bulan ini.
Menurut Yanxia, fikiranya kosong apabila melihat surat itu kerana kegagalan memasuki sekolah impian dalam jurusan sukan menjadi penyesalan terbesar dalam hidupnya.
Berdasarkan surat tersebut, Yanxia diterima masuk ke Sekolah Menengah No 3 Qingzhou di wilayah Shandong.
Selepas tamat pengajian gred sembilan pada 2006, Yanxia terpaksa menjadi pekerja kilang.
Dia kemudian berhadapan dengan bapanya untuk meminta penjelasan.
“Tiada gunanya memberitahu kamu. Saya tidak mampu,” kata bapanya.
Yanxia turut mendedahkan bahawa keluarganya perlu membayar 7,800 yuan (RM5,017) untuk yuran pengajian sekolah.
Walaupun dia mengakui keluarganya tidak mampu, Yanxia mengakui berasa kecewa kerana bapanya tidak mendedahkan perkara sebenar. – Agensi