MUNICH – Bayern Munich sedia memburu permulaan positif dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini menjelang perlawanan sulung Kumpulan A menentang Bayern Munich yang akan berlangsung di Allianz Arena awal pagi esok.
Bayern juga sedia menjadikan pertemuan dengan United sebagai medan untuk melepaskan geram selepas mereka sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Bayer Leverkusen dalam aksi Bundesliga Sabtu lalu.
Pengarah Sukan Bayern, Christoph Freund mengakui sudah tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan tersebut kerana menganggap ia sebagai pertemuan klasik, lebih-lebih lagi kedua-dua pasukan memiliki tradisi yang cukup hebat.
“Secara jujur, saya sudah tidak sabar untuk perlawanan ini memulakan aksinya kerana ia adalah pertemuan yang sangat dinantikan. Kedua-dua pasukan ada sejarah pertemuan yang cukup hebat sebelum ini.
“Kami juga mahu memulakan aksi Liga Juara-Juara musim ini dengan langkah positif, namun saya sedar ia bukan tugas mudah berdepan United. Saya yakin ia akan jadi satu perlawanan yang sangat menarik,” katanya.
Sementara itu, penyerang Bayern, Harry Kane berharap rakan sepasukan dapat melupakan aksi menentang Leverkusen sebelum ini dan memberi sepenuh tumpuan dalam usaha mereka menewaskan United.
“Kami perlu kembali kecergasan dan bersiap sedia bagi menghadapi perlawanan tersebut. Setiap perlawanan dalam Liga Juara-Juara sangat sukar, namun kami hanya mengharapkan kemenangan ke atas United,” ujarnya. – AGENSI