LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkeyakinan tinggi kepulangan kelab itu ke pentas Liga Juara-Juara tidak akan menjejaskan pungutan mata mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Sebaliknya, Arteta, 41, optimis The Gunners mampu mencabar dalam dua pertandingan itu menjelang aksi pertama Kumpulan B Liga Juara-Juara menentang PSV Eindhoven di Stadium Emirates awal pagi esok.
“Situasi sekarang ini sama sahaja seperti tahun lalu. Kami bermain tiga hari sekali, tetapi kejohanan yang berbeza, ketika itu Liga Europa dan sekarang adalah Liga Juara-Juara.
“Persaingan dan jangkaan dalam kejohanan kali ini lebih tinggi terutama apabila kami sudah tujuh tahun gagal mengambil bahagian. Ia lebih memberikan keterujaan kerana inilah sepatutnya tempat Arsenal.
“Saya fikir semua orang tidak sabar untuk menghadapi Liga Juara-Juara. Selepas itu barulah kami akan fokus kepada saingan EPL,” kata Arteta.
Tugas Arsenal tidak mudah kerana PSV pernah mencatat kemenangan 2-0 ketika kali terakhir kedua-dua pasukan berentap dalam saingan peringkat kumpulan Liga Europa musim 2021/2022.
Selepas PSV, The Gunners akan menghadapi derbi Utara London menentang seteru setempat, Tottenham Hotspur dalam kempen EPL di Stadium Emirates pada 24 September ini.
Sebagai rekod, Arsenal masih belum tewas daripada lima perlawanan EPL setakat ini apabila menang empat dan seri sekali termasuk menewaskan Everton 1-0 hasil gol tunggal Leandro Trossard pada Ahad lalu. – AGENSI