PUTRAJAYA- Ahli keluarga mangsa yang maut dalam nahas 12 kenderaan di Kilometer 5.7, Persiaran Utara menghala Puchong hari ini tidak menyangka video kemalangan yang tular di Tiktok membabitkan ahli keluarganya sendiri.
Pekerja swasta, Mohd. Azuan Mohd. Zain berkata, dia menonton video nahas itu pagi tadi, namun hanya mengetahui salah seorang mangsa terlibat merupakan ahli keluarganya pada pukul 3 petang.
“Saya mengetahui arwah terlibat kemalangan pada pukul 3 petang dan beranggapan nahas itu mungkin berlaku dua jam sebelumnya.
“Selepas mengetahui tentang nahas itu, saya bergegas ke Hospital Putrajaya sebelum dimaklumkan arwah sudah tiada (meninggal dunia),” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Putrajaya sebentar tadi.
Difahamkan, arwah yang berusia 39 tahun menetap di Flat Sri Sabah, Cheras, Kuala Lumpur. Mangsa meninggalkan seorang isteri dan anak lelaki berusia 12 tahun.
Menurut Mohd. Azuan, arwah yang bekerja sebagai penghantar notis di Mahkamah Ampang terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke Istana Kehakiman, Putrajaya.
“Sebenarnya, arwah merupakan seorang yang amat mementingkan keluarga serta ringan tulang.
“Ketika bertemu Ahad lalu sewaktu makan tengah hari di rumahnya, tiada kelainan yang ditunjukkan oleh arwah. Kami berbual seperti biasa,” katanya.
Jenazah arwah akan dikebumikan di Gombak, Selangor esok selepas selesai proses bedah siasat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.14 pagi itu, dua penunggang motosikal berusia 25 dan 39 tahun maut dalam kemalangan membabitkan empat buah motosikal, enam buah kereta dan dua buah lori. – KOSMO! ONLINE