SETIAP elemen di dalam alam sekitar mempunyai fungsi dan tugas tersendiri bagi memastikan ekosistem sentiasa stabil dan terpelihara secara semula jadi.
Tidak hanya itu, fungsi ini juga boleh diadaptasi sebagai usaha untuk membentuk persekitaran lebih baik terutama di kawasan penempatan atau bandar.
Mengambil inspirasi daripada fungsi lumut (moss) terhadap alam semula jadi, Ketua Pembangunan Teknologi, UnBound Sdn. Bhd., Natalie Loi, 24, tampil dengan idea projek Mossy AI Natural Air Purifier.
Menurutnya, projek yang dirancang sempena Cabaran Bandar Kuala Lumpur Kreatif (CBKLK) anjuran Think City itu mengetengahkan fungsi lumut sebagai penapis udara semula jadi.
“Idea ini diinspirasikan daripada hutan lumut di Cameron Highland, Pahang, yang mana lumut itu sendiri berfungsi sebagai pengimbang ekosistem di sana.
“Lumut juga bertindak sebagai sistem penurun suhu semula jadi yang membantu mengekalkan suhu sejuk di tanah tinggi Cameron Highland,” katanya ketika ditemui pada pameran finalis projek CBKLK di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, sistem itu juga boleh diadaptasi sebagai salah satu cara untuk menurunkan suhu di Kuala Lumpur dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Berkongsi maklumat tentang lumut, Natalie memberitahu, tumbuhan itu merupakan salah satu spesies yang wujud sejak 450 juta tahun lalu.
Lumut boleh bertahan dan berkembang maju melalui pelbagai perubahan iklim yang drastik.
Ia juga terdapat di setiap benua dan boleh mendiami pada tumbuhan dengan menggunakan cahaya matahari untuk tenaga.
Jelasnya, pelbagai kajian telah dijalankan bagi memanfaatkan fungsi lumut dalam membantu memberikan ekosistem lebih baik.
“Di Eropah, sistem ini telah dilaksanakan dan mereka menggunakan lumut bagi menambah baik kualiti udara dan suhu rendah di kota-kota besar.
“Oleh kerana ia merupakan tumbuhan tahan lasak, lumut boleh disesuaikan dengan apa juga iklim atau kawasan,” ujarnya.
Berhubung projek Mossy AI Natural Air Purifier, Natalie menjelaskan, sistem itu akan berfungsi sebagai pembersihan udara semula jadi.
Katanya, ia boleh membantu menapis dan membersihkan 80 peratus zarah dalam udara.
Ia juga berfungsi sebagai penyerap bunyi semula jadi dengan melembapkan frekuensi menerusi gentian-gentian lembutnya.
“Lumut boleh bertindak sebagai pendingin hawa semula jadi yang boleh mengurangkan sehingga 4 darjah Celsius suhu semasa.
“Lumut akan disepadukan dengan penderia kepintaran buatan untuk menganalisis jejak karbon kenderaan dan pejalan kaki,” jelasnya.
Katanya lagi, sistem itu boleh digunakan sebagai tumbuhan penghias di sepanjang jalan atau laluan pejalan kaki di sekitar bandar.
Terangnya, ia juga boleh dilengkapi dengan skrin maklumat yang memaparkan info kualiti udara semasa.
“Skrin ini akan menyediakan lampu di sepanjang laluan bagi memberikan perjalanan malam yang lebih selamat buat penduduk di bandar,” ujarnya sebelum menutup bicara