SEBERANG PERAI – “Saya beratur sejak pukul 7.30 pagi tadi memandangkan bekalan beras di rumah sudah hampir habis,” kata Idris Che Med, 65.
Warga emas dari Permatang Kerai Kecil itu menjadi individu pertama yang beratur untuk membeli sekampit beras tempatan 10 kilogram (kg) pada program Jualan Beras Putih Tempatan dan Agro Madani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena di sini, bermula pukul 9 pagi, hari ini.
Katanya, selepas mengetahui program terbabit akan berlangsung hari ini, dia sudah bersiap sedia awal pagi.
“Sejak dua minggu lepas, susah sungguh nak cari beras dan biasanya saya akan beli dua tiga kampit sekali gus sebab lebih mudah.
“Tak mampu nak beli beras import kerana harganya jauh beza dengan beras tempatan itu, tak silap saya harganya RM50 ke atas bagi sekampit beras 5kg.
“Kami tinggal bertujuh dan bila ada promosi sebegini sudah semestinya saya tidak akan lepaskan peluang,” katanya kepada pemberita.
Untuk rekod, sebanyak 20 tan beras tempatan berjaya dijual dalam tempoh sejam setengah.
Program terbabit dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Sementara itu, Ismail Ishak,54, berharap agar program terbabit diadakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk membantu meringankan beban rakyat.
“Kalau boleh, buat program ini lagi kerap, dan saya pasti lebih ramai penduduk setempat akan lebih menghargai usaha yang dilaksanakan kerajaan.
“Kita pun dah rasa terbeban sebab susah nak cari beras tapi dengan adanya program ini, senanglah sedikit,” katanya. -KOSMO! ONLINE