AMPANG – Seorang pengurus syarikat mengalami kerugian RM1,100,431 selepas terperdaya dengan penipuan tawaran kerja melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, wanita berusia 52 tahun itu dikatakan telah berkenalan dengan suspek melalui aplikasi tersebut pada awal Ogos lalu.
Katanya, mangsa ditawarkan kerja sambilan dan diminta pembelian barang sebelum menerima pulangan komisyen.
“Mangsa pernah menerima wang komisen berjumlah Dolar AS100 bersamaan dengan RM458.
“Selepas itu, mangsa membuat bayaran pembelian barang ke dalam 14 akaun bank berbeza seperti yang diarahkan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Azam, sehingga kini mangsa tidak mendapat komisen yang dijanjikan dan telah mengalami kerugian berjumlah RM1,100,431.
“Modus operandi yang dikendalikan adalah ‘phone scam’ iaitu tipu menawarkan kerja sambilan melalui platform media sosial yang dijanjikan pulangan komisen.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu.
“Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam urusan tawaran yang tidak pasti dan semak dahulu kesahihan urus niaga terlebih dahulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE