fbpx

Nahas Putrajaya: Dua mangsa maut sudah dikenal pasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis memantau lokasi kejadian sejurus kemalangan berlaku pagi tadi. FOTO FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA – Dua penunggang motosikal yang maut dalam nahas di Jalan Persiaran Utara, berdekatan Presint 12 di sini, pagi tadi sudah dikenal pasti selepas pengecaman dibuat ahli keluarga petang tadi.

Mangsa yang maut dikenali Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang juga kakitangan Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, penjawat awam di Mahkamah Ampang.

Jenazah Faris Haziq disahkan ayah arwah manakala arwah Yuswar disahkan isterinya masing-masing di Jabatan Forensik, Hospital Putrajaya kira-kira 5.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, proses bedah siasat jenazah akan dijalankan esok pagi.

Beliau berkata, pihaknya juga mengesahkan sebanyak 14 buah kenderaan terbabit dalam nahas itu yang menyebabkan 14 mangsa cedera dan dua maut.

“Dua mangsa lain termasuk seorang pemandu kereta Perodua Axia dan pemandu kereta Perodua Aruz kini masih di rawat dan ditempatkan di Zon Merah masing-masing di Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.

“Pemandu Axia dikenali sebagai Karli Rastio, 69, cedera di paru-paru, patah tulang leher dan cedera dalam perut manakala, seorang lagi mangsa, Abdul Latif Ahmad, 58, cedera di kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, insiden itu membabitkan empat buah motosikal termasuk sebuah motosikal polis pengiring, lapan buah kereta dan dua buah lori.

A. Asmadi berkata, nahas berlaku selepas sebuah lori membawa muatan pasir dan batu dari arah Kajang menghala ke Puchong hilang kawalan sebelum melanggar beberapa buah kenderaan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, sebelum itu, kenderaan lain yang terbabit nahas terlebih dahulu memberhentikan kenderaan selepas diarahkan polis yang terlibat dengan penutupan jalan di lokasi kejadian.

“Selain itu, sebuah motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Yamaha FJR 1300 yang sedang membuat penutupan jalan semasa program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Le Tour De Langkawi 2023 (LTdL) turut terlibat dalam nahas itu.

“Bagaimanapun, anggota polis berkenaaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya kerosakan motosikal sahaja,” katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengesan punca kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI