fbpx

Mitra bakal lancar tiga lagi program bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
R. Ramanan ketika sidang akhbar di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Selepas berjaya melaksanakan enam inisiatif ditetapkan, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) akan melancarkan tiga program bantuan baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khasnya, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, bantuan itu antaranya melibatkan pelaksanaan Program Pembasmian Miskin Tegar untuk Ahli Isi Rumah (AIR) yang berbangsa India di seluruh negara dalam masa terdekat.

“Untuk fasa pertama, tumpuan akan diberi kepada masyarakat India dikenal pasti daif yang menetap di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akhir tahun ini.

“Seramai 1,800 individu AIR sudah direkodkan menerusi sistem e-Kasih yang diuruskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM),” katanya dalam satu sidang akhbar di sini tadi.

Ramanan berkata, maklumat terperinci mengenai insiatif baharu tersebut akan diumumkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.

“Program kedua pula ialah Pemerkasaan Literasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk murid-murid sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

“Inisiatif bersifat jangka panjang selama dua tahun itu melibatkan pelajar darjah empat, lima dan enam dengan menerima kerjasama Malaysian Biotechnology Information Centre,” katanya.

Jelasnya, inisiatif ketiga dikenali sebagai Program Bantuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana untuk seramai 1,000 penjaja yang berkelayakan.

“Setiap peserta terlibat di seluruh negara bakal terima bantuan peralatan yang tidak lebih daripada RM5,000 dengan kos anggaran keseluruhannya adalah RM5 juta,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI