fbpx

Firma Amerika di China resah, mahu pindah pelaburan ke Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNJUNG melawat galeri Tesla semasa Pameran Antarabangsa China untuk Perdagangan Perkhidmatan di Beijing 4 September lalu. – AFP

WASHINGTON – Firma-firma Amerika Syarikat (AS) di China melaporkan ‘keyakinan paling rendah’ manakala semakin ramai bercadang mahu memindahkan pelaburan mereka, kata sebuah kumpulan perniagaan semalam ketika kelembapan pertumbuhan ekonomi serta ketegangan geopolitik menghakis keyakinan pelabur.

Perkara itu dinyatakan Dewan Perniagaan Amerika Shanghai (AmCham) menerusi laporan kaji selidiknya ketika Beijing me­laksanakan sebila­ngan langkah untuk merancakkan semula pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

Pengguna di China kembali berbelanja selepas pemerintah memansuhkan dasar sifar Covid lewat 2022.

Bagaimanapun, krisis serius dalam sektor hartanah dan pe­nurunan permintaan terhadap eksport China telah merencatkan pemulihan pasca Covid.

“2023 sepatutnya menjadi tahun di mana keyakinan pelabur kembali meningkat setelah sekatan dan halangan selama beberapa tahun akibat koronavirus.

“Bagaimanapun, menurut kaji selidik kami tentang perniagaan AS di China pada tahun ini, lonjakan semula itu tidak berlaku, manakala sentimen perniagaan berterusan merosot,” kata AmCham dalam satu laporan semalam.

“Ketegangan antara Beijing dan Washington juga amat membebankan perniagaan AS di China”, tambahnya.

Menurut AmCham, keyakinan pelabur untuk tempoh lima tahun akan datang adalah paling rendah dengan cuma 52 peratus responden berkata bahawa mereka masih optimistik, susut tiga mata peratusan berbanding setahun lalu.

Pada tahun lalu, responden menjangkakan kebangkitan semula ekonomi menjelang kaji selidik dilakukan pada Jun 2023, namun perkara tersebut tidak berlaku.

Apabila diminta memilih tiga cabaran paling utama yang dihadapi oleh syarikat masing-masing, 60 peratus daripada 325 perniagaan yang terlibat dalam kaji selidik sama menyatakan, hubungan AS-China dan kelembapan ekonomi.

Empat dalam setiap 10 syarikat sedang merancang atau sudah dalam proses memindahkan pelaburan mereka keluar dari China ke negara-negara lain, meningkat enam mata peratusan berbanding tahun lalu, manakala Asia Tenggara menjadi destinasi pilihan alternatif utama.

Menurut AmCham, dua pertiga responden yang tertekan untuk keluar dari pasaran China menyalahkan dasar Washington dan bukannya Beijing, sebagai punca perkara itu berlaku.

Di sebalik peningkatan ketidaktentuan yang berlaku, kerajaan AS dan pemerintah China telah mengambil langkah positif sejak beberapa bulan ke­belakangan ini, kata AmCham.

“Peningkatan komunikasi antara China dan AS sejak beberapa bulan kebelakangan ini menjadi langkah penting untuk menstabilkan hubungan kedua-dua belah pihak,” kata Presiden AmCham, Eric Zheng dalam satu kenyataan.

Siri lawatan barisan pegawai kanan AS ke China pada musim panas tahun ini termasuk Setiausaha Perdagangan, Gina Raimondo di samping pengumuman 24 langkah mempromosi pelaburan asing oleh Majlis Negara China bulan lalu, kesemuanya memberikan isyarat positif, kata AmCham. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI