KUALA LUMPUR – Malaysia menyasarkan untuk berada pada kedudukan ke- 25 teratas bagi Indeks Pembangunan Manusia (HDI) dalam tempoh 10 tahun.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sasaran tersebut sekali gus bakal memperbaiki kedudukan negara yang kini berada di tangga ke-62 daripada 189 buah negara bagi indeks sama pada 2021.
“Pada peringkat domestik pula, tahap kesejahteraan ekonomi dan sosial rakyat meningkat sebanyak 1.3 peratus dalam Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia.
“Pendapatan purata bulanan isi rumah juga bertambah baik, iaitu sebanyak RM8,479 pada tahun 2022, berbanding RM7,901 pada tahun 2019”, katanya ketika pembentangan usul Kajian Separuh Penggal RMKe-12 di Dewan Negara hari ini.
HDI mempertimbangkan tiga aspek dalam pembangunan manusia merangkumi gaya hidup sihat, kualiti pendidikan dan taraf hidup yang baik.
Dalam pada itu, Rafizi menggesa agar rakyat bekerjasama dan memberi sokongan kepada usaha kerajaan bagi merealisasikan Kajian Separuh Penggal RMK-12 yang telah dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Isnin lalu di Dewan Rakyat.
Menurut Rafizi, RMK-12 memberi keutamaan dan penekanan baharu kepada dasar, strategi dan inisiatif bagi pembangunan sosioekonomi selain sebagai langkah memperkukuh tadbir urus negara yang mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi.
“Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia berganding bahu untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta pengagihan kekayaan negara adalah telus, adil dan saksama”, katanya. – KOSMO!ONLINE.