PONTIAN – Demi masa depan satu-satunya permata hati berusia sembilan tahun, seorang bapa terpaksa melepaskan gaji RM5,000 sebagai jurujual kenderaan dan beralih kepada penjual baju batik sejak tiga bulan lalu.
Semuanya dilakukan Samain Sarien, 59, selepas isterinya, Norhayati Mohamed Nor meninggal dunia akibat penyakit kanser payu dara pada Jun lalu.
“Sebelum ini arwah isteri yang menguruskan anak tunggal kami, Qasrina Ellysah sementara saya bekerja di Johor Bahru.
“Namun demi memastikan kehidupan anak sempurna, saya melepaskan kerjaya tersebut.
“Idea menjual baju batik timbul selepas bercuti di Terengganu dan mengadakan pertemuan dengan pembuat batik bagi mendapat bekalan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambah Samain, dia menggunakan pengalaman selama 15 tahun dalam menarik pelanggan dan bersyukur apabila kerajaan mewajibkan pemakaian baju batik sekali gus menambah keyakinan dalam bidang yang baharu diceburi itu.
Katanya, terdapat dua jenis pakaian batik yang dijual di kedainya iaitu batik lukis atau batik cetak bagi memberikan pilihan kepada kakitangan awam dan orang ramai mengikut kemampuan masing-masing.
“Harga yang ditawarkan untuk lengan pendek antara RM80 hingga RM200, lengan panjang, RM100 hingga RM160 sehelai, manakala batik cetak antara RM60 hingga RM80,” jelas bekas anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) itu.
Mengenai sambutan orang ramai kepada kedainya sejak dibuka tiga bulan lalu, Samain memberitahu, sambutan memberangsangkan dengan jualan baju batik telah mencapai 100 helai seiring dengan permintaan ketika ini.