HULU TERENGGANU – Sekumpulan 30 pekebun mendakwa kerugian RM500,000 apabila tanaman kelapa sawit dan buah-buahan yang hampir mengeluarkan hasil musnah diserang gajah di Kampung Hulu Sat di sini sejak tiga bulan lalu.
Wan Mamat Wan Endut, 49, berkata, dia hampir menangis menyaksikan 200 pokok kelapa sawitnya musnah dirosakkan sekumpulan gajah baru-baru ini.
“Pokok-pokok kelapa sawit itu sepatutnya akan mula mengeluarkan hasil tidak lama lagi.
“Sia-sia penat lelah saya mengusahakan kebun kelapa sawit tersebut sejak tiga tahun dan berhabis RM30,000 akhirnya hasilnya tidak dapat dirasai,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Normawati Sabda, 53, pula berkata, dia terus demam kerana terlalu terperanjat apabila terserempak dengan gajah sewaktu membersih kebun buah-buahannya pada minggu lalu.
“Waktu itu saya dan beberapa ahli keluarga sedang membersihkan kebun cempedak yang dirosakkan gajah liar sebelum terdengar bunyi gajah.
“Kami bertempiaran lari menyelamatkan diri. Esoknya saya demam sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital,” katanya.
Normawati berkata, tekanannya berganda apabila banyak buah cempedak yang sepatutnya sudah boleh dipasarkan rosak dikerjakan gajah liar terbabit.
Mohd. Zahri Sulaiman, 69, pula mengakui hampir berputus asa angkara serangan gajah itu.
“Habis 150 pokok kelapa sawit yang saya tanam di kebun seluas 0.8 hektar musnah dikerjakan gajah liar.
“Takut hendak tanam semula kerana ancaman haiwan liar itu tidak pernah berakhir. Kami mohon pihak bertanggungjawab bantu kami atasi masalah ini supaya kami dapat hidup dengan tenteram,” katanya.