JOHOR BAHRU – Tiga beradik gempal antara sembilan individu diberkas selepas disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah dalam empat siri serbuan di Johor Bahru, Seri Alam dan Kota Tinggi, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek terdiri daripada enam lelaki dan tiga perempuan berusia antara 22 hingga 36 tahun.
Menurutnya, dalam siri serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya 28 ketulan mampat seberat 27.55 kilogram (kg), heroin (1.81kg), syabu (2.02kg), ketamin (597 gram), pil yaba (540 biji) dan pil ekstasi (353 biji) bernilai RM231,462.40.
“Polis turut merampas lima pucuk pistol pelbagai jenis bersama 136 butir peluru serta 111 karton rokok seludup kekuaran negara China.
“Daripada sembilan individu yang diberkas, tiga daripada mereka adalah adik-baradik terdiri dua wanita dan seorang lelaki,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar.
Kamarul Zaman berkata, modus operandi yang digunakan sindiket ini ialah menyewa beberapa rumah untuk dijadikan stor simpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Kegiatan sindiket ini dikesan telah aktif beroperasi sejak Mei lalu dan bekalan disyaki diperolehi dari utara tanah air,”katanya.
Beliau berkata, selain rampasan dadah dan pistol, polis turut menyita empat buah kenderaan, sebuah motosikal, barang kemas serta wang tunai RM126,000 dan jumlah sitaan adalah RM305,200.
Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah RM536,662.40.
Kamarul Zaman berkata, kesemua suspek direman selama enam hari bermula semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.
Selain itu, mereka turut disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE