fbpx

18 anggota, pegawai polis KL dipecat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allaudeen ketika Perhimpunan Bulanan Ketua Polis KL, di IPK KL hari ini. - Foto ihsan Polis KL

KUALA LUMPUR – Seramai 18 anggota dan pegawai polis Kuala Lumpur dilucutkan jawatan, manakala enam lagi diturunkan pangkat dalam tempoh lapan bulan sejak Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tindakan tegas berkenaan diambil susulan pelbagai tuntutan masyarakat terhadap standard perkhidmatan berkualiti daripada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita berhadapan dengan kepelbagai tuntutan masyarakat berhubung standard perkhidmatan berkualiti tetapi apa yang membimbangkan adalah isu integriti dan disiplin warga PDRM yang terlibat dalam aktiviti jenayah, penyalahgunaan dadah, salah laku dan sebagainya.

“Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kuala Lumpur membuka sebanyak 157 kertas siasatan bagi tempoh Januari hingga Ogos.

“Jumlah itu mencatatkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 164 kertas siasatan melibatkan pelbagai salah laku dalam kalangan anggota dan pegawai,” katanya ketika Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ujarnya, kegagalan melaksanakan penyeliaan yang berkesan antara punca berlakunya salah laku dalam kalangan anggota dan pegawai polis.

Sehubungan itu, beliau berpendapat bahawa kawalan dan pengawasan tatatertib harus diperkasakan selaras dengan Peraturan 3C Pegawai Awam seperti digariskan di bawah Kelakuan dan Peraturan-Peraturan Tatatertib 1993.

“Saya menuntut kepada semua Ketua Jabatan Polis Daerah dan Ketua Penyelia supaya bertanggungjawab atas penyeliaan serta menjalankan pemantauan.

“Jalankan pemantauan tanpa sebaran ‘cover-up,’ kronisme dan pilih kasih selain memulakan pendekatan lebih agresif dalam memperkasakan Peraturan 3C.

“Saya juga berharap warga polis Kuala Lumpur menjadikan integriti sebagai tunjang penting dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat selain menjadikannya indikator utama mengukur sejauh mana PDRM telus dan tulus dalam aspek tatakelola,” tegasnya lagi. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI