JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi orang ramai sedang mengutip wang kertas bernominasi 100,000 rupiah (RM30.53) bertaburan di atas jalan di Medan, wilayah Sumatera Utara, lapor laman berita Detik hari ini.
Kejadian berlaku di Jalan Imam Bonjol, bersebelahan bangunan Bank Sumut dan Hotel Danau Toba.
“Hujan duit di atas jalan di Medan. Katanya, wang itu milik pengguna jalan raya yang lalu di situ,” demikian menurut keterangan hantaran itu.
Dalam video tersebut, orang ramai mengutip wang kertas yang bertaburan dan memasukkannya ke dalam beg plastik berwarna hitam.
Seorang lelaki memakai topi keledar yang memegang plastik itu didengari berkata: “Mari bantu. Kutip wang itu.”
Sementara itu, seorang pengawal keselamatan, S Situmeang yang berada di lokasi kejadian berkata, wang itu adalah milik seorang lelaki separuh umur yang menunggang motosikal.
“Menurut seorang rakan sekerja, seorang penunggang motosikal membawa wang itu di dalam plastik. Plastik itu berlubang,” katanya.
Tambah Situmeang, orang ramai membantu mengutip kesemua wang yang bertaburan tersebut.
“Mereka membantu mengutip wang, namun tidak diketahui adakah jumlahnya masih sama. Ia adalah wang 100,000 rupiah, namun jumlahnya kami tidak tahu,” katanya. – AGENSI