PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan, petang ini.
Menurut ramalan cuaca di laman sesawang MetMalaysia, ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka Johor, Perlis dan Kedah.
“Cuaca buruk sama turut diramal berlaku di Pulau Pinang, Pahang serta kawasan pedalaman di Perak dan Kelantan di satu dua tempat.
“Di Sabah pula, hujan lebat bakal melanda Wilayah Persekutuan Labuan. Manakala kawasan Pantai Barat, Kudat, Tawau dan Sandakan dijangka mengalami ribut petir petang ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut laporan sama, ribut petir diramal di satu dua tempat melibatkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE