fbpx

PRK DUN Jepak: SPR adakan mesyuarat khas Isnin depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 25 September depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting termasuk hari pengundian bagi pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Abdul Ghani Salleh sebelum satu sidang akhbar khas diadakan selepas itu.

Katanya, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berhubung kekosongan luar jangka kerusi Jepak, Sarawak.

“Selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak yang memperuntukkan kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi dipastikan oleh SPR.

“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil PRK DUN Jepak pada 25 September 2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, menerusi mesyuarat khas itu, tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya itu akan dibincangkan.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak, Datuk Talib Zulpilip menghembuskan nafas terakhir pada 15 September lalu ekoran komplikasi buah pinggang selepas dimasukkan ke pusat perubatan.

Allahyarham adalah penyandang kerusi DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.

Pada 2009, Allahyarham dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan pernah menyandang jawatan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI