fbpx

Polis berkas dua suspek seludup petrol bersubsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Shokri menunjukkan rampasan minyak petrol bersubsidi yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran di Padang Besar, hari ini.

PADANG BESAR – Dua lelaki ditahan dalam serbuan berasingan kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan petrol bersubsidi dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM12,920.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun ditahan dalam serbuan pertama yang dijalankan di Titi Tinggi, di sini pada pukul 1 tengah hari semalam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kereta tersebut telah diubah suai dengan meletakkan tangki tambahan yang mampu mengisi sehingga 600 liter petrol,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, suspek yang mempunyai rekod jenayah itu akan mengisi bahan bakar di stesen minyak sekitar negeri ini pada awal pagi dan melalui laluan khas bagi mengelak sekatan jalan raya.

“Hasil risikan selama sebulan juga mendapati suspek dipercayai telah menjalankan kegiatan itu selama setahun dan menyara hidup dengan aktiviti tersebut,” jelasnya.

Dalam serbuan kedua yang dijalankan pada pukul 5.30 petang hari sama, polis turut menahan seorang suspek lelaki berusia 23 tahun dan membongkar sebuah stesen minyak haram dalam kebun getah di Wang Kelian, dekat sini.

Menurut Mohd. Shokri, serbuan yang dijalankan di sebuah rumah tanpa nombor itu menemui tiga tong dram dan 14 tong minyak plastik berwarna hitam dipercayai mengandungi petrol dengan anggaran 1,220 liter.

“Suspek menjual bahan bakar itu kepada trak pikap dari negara jiran dengan menuang terus ke dalam tangki pada harga RM4.15 seliter dan mampu menjual sehingga 1,300 liter sehari,” katanya.

Jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes bernilai RM12,920 melibatkan sebuah kereta, peralatan mengepam minyak, bekas simpanan minyak dan minyak petrol bersubsidi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI