KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Ahli Parlimen pembangkang supaya memahami mengenai isu beras dan bawang ketika ini.
Menurut beliau, India sejak bulan lalu telah menghadkan eksport beras putih, manakala duti eksport bawang dari india telah naik 40 peratus.
“Saya harap ahli Yang Berhormat juga faham termasuk kenaikan harga bahawa sejak Ogos lalu duti eksport bawang dari India naik 40 peratus.
“Kita kena faham ini dan tentunya bagi kita di Malaysia yang membeli bawang dari India akan terkesan.
“Begitu juga tentang keputusan India bulan lalu untuk menghadkan eksport beras putih,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Dewan Rakyat di sini semalam.
Anwar berkata, beliau bersetuju isu itu soal serius yang menekan hidup rakyat dan beliau telah mengarahkan menteri supaya turun dan pantau sendiri situasi berkenaan.
“Walau kita beri jaminan harga beras tempatan tidak naik, tetapi ada laporan tentang kekurangan di beberapa tempat dan ini mesti ditangani dengan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE