IPOH – Penduduk di sekitar Lahat dan Pengkalan di sini tidak melepaskan peluang membeli beras dengan harga rahmah iaitu RM15 bagi beras kampit lima kilogram (kg) di Mini Karnival Madani sempena sambutan bulan kemerdekaan peringkat mukim Hulu Kinta (Lahat).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ramai pengunjung yang beratur untuk memberi beras dengan harga yang mampu milik sejak karnival itu bermula pagi tadi.
“Selain beras, mereka juga boleh mendapatkan bekalan air, bekalan ayam, sayur dan juga barang-barang lain dengan harga yang sangat-sangat rendah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, penghulu Mukim Hulu Kinta (Lahat), Ekmal Hiduir Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya menawarkan 200 kampit beras 5kg pada harga RM15 bagi satu kampit.
“Saya difahamkan ada penambahan beras lagi pada lewat malam semalam. Kita harapkan untuk tambah baik program sebegini ataupun kalau ikutkan kita ada perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk buat acara seperti ini pada setiap minggu.
“Sebab kalau ikutkan yang ini kita bawakan trak bergerak yang baru dilancarkan jadi jadualnya padat. Saya harapkan program seperti ini dapat dilaksanakan secara berkala terutamanya di mukim ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE