fbpx

Operasi Hormat Undang-Undang: 6,964 saman pada hari keempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis trafik ditempatkan di lokasi-lokasi terpilih semasa Operasi HUU di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,964 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa Operasi Hormat Undang-Undang (HUU) Jalan Raya Polis Kuala Lumpur memasuki hari keempat dilaksanakan, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, melakukan halangan lalu lintas menjadi kesalahan paling banyak dicatatkan apabila sebanyak 5,317 saman dikenakan kepada pengguna jalan raya.

Ujarnya, pengguna jalan raya masih gagal mematuhi peraturan iaitu tidak meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki atau garisan putih apabila 332 saman terpaksa dikeluarkan oleh pihak polis.

“Masih ramai juga pengguna jalan raya yang tidak mematuhi isyarat lampu merah apabila 133 saman dikenakan kepada pesalah dalam operasi pada Isnin.

“Selain itu, sebanyak 101 saman dikeluarkan oleh pihak polis kepada mereka yang tiada memiliki lesen memandu melibatkan warga tempatan dan sebanyak empat saman untuk kesalahan sama membabitkan warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sarifudin lagi, sebanyak tiga saman dikenakan ke atas pesalah jalan raya yang berhenti di petak kuning.

Katanya, tindakan mengabur atau menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ masih berlaku apabila 21 saman dikenakan pada operasi semalam.
Dalam pada itu, sejumlah 1,053 saman dikeluarkan kepada pesalah jalan raya di atas pelbagai kesalahan lain.

Jelasnya, meskipun jumlah saman dikeluarkan lebih tinggi berbanding Ahad, namun tiada sebarang sitaan kenderaan dilaksanakan.

“Sebanyak 16 operasi dilaksanakan dan keutamaan diberikan kepada kesalahan had laju, lampu isyarat serta penggunaan telefon bimbit semasa memandu.

“Seramai 11 pesalah jalan raya ditahan dalam operasi semalam kerana melakukan pelbagai kesalahan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI