JUMLAH kemalangan yang mengakibatkan kecederaan dan kematian menunjukkan trend peningkatan membimbangkan apabila dilaporkan meningkat kira-kira 16 peratus setiap bulan pada tahun ini.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mendedahkan lebih 2,600 kematian direkodkan dalam tempoh Januari hingga Mei lalu dengan 70 peratus daripadanya disumbangkan oleh penunggang motosikal.
Melihat situasi itu, inisiatif Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) menawarkan latihan advokasi keselamatan jalan raya serta teknik menunggang motosikal secara berhemah dan berkesan menerusi Modenas Safety Riding Academy (MSRA) bertepatan usaha kerajaan mengurangkan kadar kemalangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, pihaknya terus komited menawarkan pendidikan dan latihan keselamatan jalan raya kepada penunggang motosikal di pusat latihan MSRA di Gurun, Kedah yang ditubuhkan sejak 3 Oktober 2017.
Katanya, MSRA ditubuhkan melalui memorandum persefahaman (MoU) antara Pusat Pembangunan Kemahiran dan Pengurusan Kedah (Kismec) serta Modenas.
“Inisiatif yang dilakukan ini adalah sebagai tanggungjawab korporat Modenas kepada negara dalam meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap keselamatan jalan raya terutama penunggang motosikal.
“Tenaga pengajar yang merupakan penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH-C) di MSRA menyumbang kepakaran teknikal dan pengetahuan dalam penyelenggaraan serta pemeriksaan motosikal kepada pelatih,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Modenas, Gurun baru-baru ini.
Ujarnya, program pendidikan keselamatan jalan raya yang berkesan itu mampu membantu memerangi peningkatan kemalangan jalan raya pada ketika ini.
“Program selama tiga hari di MSRA ini adalah berkonsepkan train the trainer dengan kita memfokuskan kepada penunggang motosikal terutama di negeri-negeri utara Semenanjung.
“Pengajar di MSRA akan menunjukkan kemahiran dan teknik menunggang motosikal secara berkesan, menyampaikan latihan advokasi keselamatan jalan raya dengan cekap seterusnya berkongsi pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh kepada organisasi masing-masing,” ujarnya.
Jelas Roslan, kaedah latihan adalah kuliah mengikut modul dan perbincangan, demonstrasi dan praktikal, lawatan kilang serta teori dan amali penilaian.
“Antara topik dikongsi ketika latihan ialah pengenalan komponen utama motosikal dan fungsi-fungsinya, penggunaan peralatan perlindungan diri dengan selamat dan pemeriksaan motosikal.
“Selain itu, pengajar juga akan menerangkan tentang kaedah untuk memeriksa komponen motosikal serta praktikal tentang cara mengawal motosikal semasa kecemasan dan cara mengendali motosikal untuk mengelak sebarang halangan. Pengajar juga akan memberi latihan tentang cara brek kala waktu biasa dan kecemasan,” jelasnya.
Katanya, dua tenaga pengajar di MSRA adalah jurulatih bertauliah yang mempunyai sijil pentauliahan dari Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) untuk Menunggang Motosikal secara Selamat.
“Aspirasi kita menerusi MSRA ini adalah bagi melengkapkan penunggang dengan kemahiran dan pengetahuan penting untuk mengurangkan kemalangan dan menyelamatkan nyawa.
“Kita juga mahu membantu mengurangkan kadar kemalangan melalui pendidikan dan latihan yang berkesan dengan meningkatkan budaya keselamatan, memupuk tanggungjawab, pematuhan peraturan lalu lintas dan komitmen terhadap amalan menunggang yang selamat,” katanya.
Ujarnya, lebih 120 program pendidikan keselamatan jalan raya telah dilakukan di MSRA membabitkan seramai 2,400 penunggang motosikal.
“Kita menyasarkan lebih ramai penunggang motosikal akan menyertai program pendidikan di MSRA ini selepas ini,” katanya.
Beliau pada masa sama menyarankan mana-mana organisasi yang melibatkan ramai penunggang motosikal termasuk jabatan dan agensi kerajaan, syarikat persendirian dan kelab motosikal dapat sertai program itu bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.
Setiap pelatih MSRA akan menerima sijil diperakui Modenas dan Kismec.
Sementara itu, berhubung keputusan kerajaan untuk mewajibkan Sistem Brek Antikunci atau Antilock Braking System (ABS) untuk semua motosikal dengan sesaran enjin 150cc dan ke atas pada 1 Januari 2025, kata beliau, ia dapat meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dengan signifikan.
“Modenas memastikan semua motosikal baharu dalam kategori 150cc dan ke atas, seperti motosikal Modenas Elegan EX, dilengkapi dengan sistem ABS bagi memenuhi piawaian kerajaan.
“Keputusan kerajaan itu mampu menyumbang persekitaran penunggangan lebih selamat untuk semua peminat motosikal dan pengguna jalan raya,” tambahnya.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Modenas, Azizul Aziz Ishak berkata, pendidikan dan latihan keselamatan di MSRA dijalankan secara menyeluruh iaitu secara teori dan praktikal.
“Pelatih akan diterangkan semua aspek keselamatan yang perlu dipatuhi penunggang termasuk dari aspek pakaian serta fungsi, pemeriksaan dan penyelenggaran motosikal selain cara menunggang yang betul.
“Kita akan beri penerangan jelas daripada sekecil-kecil perkara termasuk kepentingan memakai kasut ketika menunggang dan tidak memakai selipar serta kepentingan membersihkan motosikal sekurang-kurangnya dua minggu sekali bagi menjamin keselamatan pengguna,” katanya.
Bagi yang berminat menyertai program di MSRA boleh hubungi Mohd. Yazid Abdul Gafar di talian 04-4668019 atau [email protected].