SUNGAI PETANI – Kerajaan negeri menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM300 seorang melalui Tabung Bantuan Segera Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada lapan mangsa kebakaran rumah kedai di Pekan Kota Kuala Muda, dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Datuk Halimaton Saadiah Saad berkata, selain bantuan tersebut pihaknya juga akan membawa perkara itu pada mesyuarat Exco esok.
“Bagi kes ini, ia melibatkan kebakaran rumah kedai, jadi skop kebajikan agak terhad, insha-Allah bantuan seterusnya akan kita kemukakan kepada pihak berwajib dari semasa ke semasa untuk kita sampaikan kepada mangsa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan tersebut di lokasi kejadian, hari ini.
Menurutnya, pihaknya juga akan berbincang dengan pengarah kesihatan negeri berhubung masalah pengurusan mayat tiga mangsa kebakaran yang masih belum selesai sehingga hari ini.
“Kita minta supaya pihak forensik dapat mempercepatkan proses mengenal pasti identiti mayat tersebut supaya urusan pengebumian mayat dapat dilakukan dengan segera,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan tiga mangsa ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan lapan unit rumah kedai di Pekan Kota Kuala Muda dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, tiga sekeluarga yang maut ialah Yong Swee Lan, 92, anak perempuannya, Lee Chew Fong, 61, dan menantunya Lim Yang Kooi, 66. – KOSMO! ONLINE