KUALA LUMPUR – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berpendirian, kenyataan mengkritik tadbir urus lemah Kerajaan Negeri Kedah di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dibuat berpandukan kepada komen yang adil.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan, kenyataannya pada Julai lalu menyentuh kebimbangan beliau terhadap kepentingan awam berkaitan kelemahan pengurusan sumber asli Kedah, khususnya unsur nadir bumi (REE).
Sehubungan itu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri mempertahankan kenyataan yang dibuatnya terhadap Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.
Beliau menyatakan demikian dalam pernyataan pembelaan yang difailkannya melalui Tetuan Nav & Co di Mahkamah Tinggi Alor Setar, 14 September lalu.
Pembelaan itu berkaitan saman yang difailkan Muhammad Sanusi (plaintif) kerana mendakwa Setiausaha Agung PKR itu (defendan) memfitnahnya mencuri unsur nadir bumi dan menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).
Saifuddin menyatakan, kenyataan mengenai isu Marris merupakan komen yang adil atas alasan pemberian berkanun oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri mesti digunakan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan semasa.
Ujar beliau, kerajaan negeri mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk meluluskan pemindahan baki terkumpul dana Marris dalam Akaun Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri Kedah ke dalam Kumpulan Wang Pembangunan Negeri Kedah.
Permohonan itu dikemukakan bagi menggunakan dana Marris untuk pembangunan negeri. Bagaimanapun, permohonan itu ditolak oleh Kementerian Kewangan.
Menurut Setiausaha Agung PKR itu, Seksyen 2(a) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 menyatakan hanya dana yang dibenarkan boleh dimasukkan ke dalam tabung pembangunan negeri dan ia tidak termasuk dana Marris.
“Pengendalian dana Marris oleh Kerajaan Negeri Kedah tidak dibenarkan oleh undang-undang kerana tujuan penggunaan dana itu bertentangan dengan tujuan yang dimaksudkan iaitu untuk penyelenggaraan jalan negeri.
“Justeru, penggunaan atau tujuan penggunaan dana Marris tidak wajar dan menunjukkan ketiadaan pengurusan kewangan yang betul di pihak kerajaan negeri Kedah serta bertentangan dengan prinsip tadbir urus kewangan yang betul,” ujar Saifuddin.
Berkaitan kebimbangan beliau terhadap tadbir urus sumber asli Kedah, khususnya REE, Saifuddin menegaskan, pentadbiran negeri itu dikaitkan dengan insiden kecurian REE seperti yang dinyatakan dalam surat kompaun.
Pembelaan itu menyebut, pada 27 September 2022, pihak berkuasa telah menyerbu sebuah kawasan di Kompartmen 12, Hutan Simpan
Bukit Enggang, Sik kerana disyaki menjalankan perlombongan haram REE yang mana MBI Kedah ialah pemegang permit dan pemilik berdaftar bagi tanah hutan simpan.
Saifuddin turut berkata, kerosakan reputasi Muhammad Sanusi bukan berpunca daripada kenyataan beliau sebaliknya akibat faktor tadbir urus dan penyelewenan pentadbiran semasa berjawatan Menteri Besar termasuk pertikaian, tindakan undang-undang dan pertuduhan menghasut terhadap kaum kerabat diraja.
Sehubungan itu, beliau menafikan sebarang niat jahat, dendam atau niat untuk memburukkan reputasi Muhammad Sanusi.
Ujar beliau, Muhammad Sanusi tidak mengalami apa-apa kerugian dan kerosakan, sama ada terhadap reputasi atau sebaliknya.
Ia ekoran kejayaannya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri pada pilihan raya negeri Kedah lalu dengan majoriti lebih 16,000 undi.
Beliau turut mengangkat sumpah semula sebagai Menteri Besar (dengan menguasai lapan portfolio dalam majlis exco kerajaan negeri) selain mengekalkan jawatan Pengerusi MBI Kedah.
Oleh yang demikian, ujarnya, Muhammad Sanusi tidak berhak mendapat relif kerana beliau (Saifuddin) tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada kenyataan-kenyataan tersebut. – KOSMO! ONLINE