fbpx

Mahkamah: Ada seseorang kunci tombol pada hari kematian Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Samirah (tengah) ketika hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini. Foto oleh Faiz Alif Zubir.

PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan hari ini berhujah terdapat seseorang yang telah dengan sengaja mengunci tombol pintu di luar bilik dan mencipta ‘staged crime scene’ (cipta lokasi jenayah lain) pada hari kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Allahyarham Nazrin Hassan di sebuah rumah di Mutiara Damansara lima tahun lalu.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Amril Johari, tidak mungkin tombol tersebut telah terkunci dengan sendirinya dari dalam memandangkan kebakaran tidak merebak ke pintu tersebut.

“Kesan terbakar pada tombol tersebut juga sengaja dilakukan bagi memberikan gambaran bahawa tombol tersebut terkunci disebabkan sambaran api kebakaran kerana tiada sebarang kebakaran pada pintu tersebut; hanya kesan jelaga sahaja.

“Kesan kebakaran pada tombol juga dilakukan tombol itu terkunci disebabkan oleh kebakaran atau haba kebakaran dan ini adalah merupakan satu persediaan untuk mencipta satu ‘staged crime scene’,” katanya.

Berhujah lanjut, pihak pendakwaan turut berhujah bahawa tiada mana-mana saksi yang benar-benar dapat memastikan telah berlaku letupan sehingga menyebabkan kematian Nazrin.

Selain itu, kesan kecederaan pada mayat mangsa juga tidak menunjukkan kecederaan selari dengan dakwaan berlakunya letupan.

Katanya, sekiranya berlaku letupan (daripada telefon bimbit), telinga mangsa akan terkoyak namun gegendang masih lagi elok.

“Saksi pendakwaan ke-39 (pegawai forensik mengkaji percikan darah, Asisten Superintenden, Mohd. Nizam Husain) mengesahkan bahawa kesan darah yang dijumpai di dinding tempat kejadian adalah konsisten dengan kesan terkena objek tumpul dan bukan kesan tembakan mahupun letupan.

“SP39 turut mengesahkan bahawa kesan darah yang terjadi pada dinding adalah sebelum kebakaran kerana ia wujud di sebalik jelaga kebakaran,” kata pendakwaan lagi.

Perbicaraan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli bersambung lagi pada 17 Oktober ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI