ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mencatatkan prestasi tuaian semasa padi di kawasan Muda sebanyak 20 peratus dengan anggaran hasil kasar pengeluaran sebanyak 100,000 tan metrik sehingga semalam.
Pengerusinya, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, jumlah pengeluaran tersebut adalah bersamaan dengan 54,000 tan atau 5.4 juta beg beras.
“Kita menjangkakan status kemajuan aktiviti tanaman padi di kawasan Muda mencapai 90 peratus pada pertengahan bulan depan dengan hasil kasar pengeluaran 450,000 tan metrik.
“Ia bersamaan dengan 274,000 tan beras atau 27.4 juta beg beras,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, bagi kelangsungan pengeluaran padi negara, MADA juga melaksanakan strategi program peningkatan hasil padi di kawasan Muda dengan memfokuskan Penanaman Padi Skala Besar seperti Projek Smart Sawah Berskala Besar (SBB) Ala Sekinchan dan Projek Penanaman Padi Lima Kali dalam Tempoh dua Tahun.
Sementara itu, katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) MADA Musim 2/2023 yang berlangsung pada semalam bersetuju penanaman padi bagi Musim 1/2023 adalah bergantung kepada turunan air hujan 100 peratus.
“Tarikh akhir menabur bagi Fasa I adalah 11 November depan dan bagi Fasa II tarikh akhir menabur adalah pada 21 November depan dan Fasa III tarikh akhir menabur pada 1 Disember depan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE