fbpx

Lelaki didenda RM20,000 tipu anak pemilik restoran nasi kandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini.

SEBERANG PERAI – Seorang penganggur didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini atas pertuduhan pilihan kerana menipu anak pemilik restoran nasi kandar bagi membantu mendapatkan lesen perniagaan, tahun lalu.

Jalil Ahmad Mohd Adam,53, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Jalil Ahmad yang ketika itu bekerja sebagai pembantu restoran nasi kandar itu didakwa memperdaya lelaki berusia 22 tahun untuk mempercayainya bagi membantu mendapatkan lesen perniagaan kedai nasi kandar.

Perbuatan itu menyebabkan mangsa menyerahkan wang RM50,000 kepada tertuduh yang akan dibayar kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), sedangkan mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di The Summer Place, Lebuh Sungai Pinang di Georgetown pada 17 Oktober 2022 antara pukul 2 petang sehingga 4.05 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar denda dikurangkan kerana tidak bekerja.

Tertuduh juga memaklumkan dua anak perempuan yang menyaranya dan tinggal bersama ibunya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira faktor kepentingan awam sekali gus memastikan kesalahan itu tidak berulang lagi.

Zulhazmi kemudiannya turut memerintahkan dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut. Bagaimanapun, tertuduh dikatakan telah membayar denda yang dikenakan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI