fbpx

KPDN tawar beras import dengan harga RM13 hingga RM14

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal menawarkan beras import dengan harga yang lebih murah berbanding pasaran melalui Program Jualan Rahmah Beras yang bakal bermula hari ini.

Menurut Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, pihaknya bakal hadir dengan mekanisme terbaik untuk memastikan bantuan tersebut sampai ke kawasan penempatan B40 supaya mereka yang memerlukan dapat memperoleh faedah daripada jualan tersebut.

“Buat masa ini, KPDN memutuskan untuk menjual beras dengan harga setara seperti apa yang ditawarkan dalam Jualan Rahmah sebelum ini iaitu sekitar RM13 hingga RM14 untuk sekampit beras lima kilogram.

“Dalam Jualan Rahmah kita jual beras tempatan namun, disebabkan kekurangan beras tempatan, harga yang ditawarkan adalah untuk beras import dalam bentuk diskaun. Namun, butiran lanjut bakal diterangkan petang ini,” katanya ketika ditemui di sidang akhbar Seminar Today Malaysia e-Commerce di Hotel Aloft Kuala Lumpur Sentral di sini, hari ini.

Tambahnya, program tersebut juga bakal dilaksanakan mengikut Parlimen supaya capaiannya dapat diperluas kepada golongan yang memerlukan.

“Sebelum ini, ada dalam kalangan Ahli Parlimen yang datang berjumpa saya dan menyatakan hasrat ingin menggunakan peruntukan mereka dan menambah subsidi yang ditawarkan dalam bentuk beras supaya ia boleh dinikmati oleh pengundi di kawasan mereka.

“KPDN juga bakal menggunakan peruntukan sedia ada sebanyak RM150 juta untuk Jualan Rahmah sebelum ini bagi menjayakan program ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kenaikan harga barang keperluan lain terutamanya sayur-sayuran di pasaran, Fuziah berkata, pihaknya sentiasa memantau harga barang-barang ini melalui pegawai pemantauan harga yang berada di seluruh negara

“Ada banyak faktor yang menjadi penentu harga, contohnya cuaca serta permintaan dan penawaran barang tertentu. Jadi, (kenaikan ini) merupakan sesuatu yang biasa berlaku terutamanya dalam pasaran terbuka.

“Menurut data yang kami ada, sekiranya harga tidak melebihi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan, kenaikan harga merupakan sesuatu yang biasa dan masih lagi terkawal,” katanya.

Tambahnya, data pihak KPDN tidak menunjukkan sebarang kenaikan harga sayuran yang drastik di seluruh negara.

“Jadi, mungkin insiden ini berlaku di satu-satu tempat. Sekiranya benar harga sayuran naik 30-40 peratus, kami akan nampak melalui data yang ada kerana pegawai KPDN turun padang setiap hari untuk memeriksa harga barangan di pasaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI