fbpx

Johor terima 80 tan beras putih tempatan, bantu tangani kekurangan bekalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAHARI (dua kanan) mendengar taklimat berhubung sistem akuaponik semasa menghadiri Kursus Peningkatan Ekonomi Madani Peladangnita Negeri Johor 2023, di Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Johor telah menerima tambahan bekalan beras putih tempatan sebanyak 80 tan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan beras yang dilaporkan berlaku di negeri ini sejak kebelakangan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip memberitahu, bekalan tersebut disampaikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ).

Menurut beliau, bekalan itu akan disampaikan secara berperingkat bermula semalam sehingga akhir minggu ini.

“Memang kita hadapi sedikit cabaran, tentang bekalan beras. Kerajaan negeri sedang susun program untuk bantu rakyat, kita sebenarnya akan lihat apa yang dijalankan pusat kemudian disambung kerajaan negeri.

“Sebagai langkah intervensi beras, sebanyak 80 tan bekalan beras putih tempatan akan dibekal ke seluruh negeri melalui empat pusat pengumpulan iaitu di Johor Bahru, Simpang Renggam, Batu Pahat dan Tangkak.

“Daripada situ, bekalan tersebut akan diedar ke seluruh Johor, sebagai contoh pusat pengumpulan di Tangkak akan edar ke Muar dan Segamat, manakala Johor Bahru akan edar ke selatan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kursus Peningkatan Ekonomi Madani Peladangnita Negeri Johor 2023 di Lembaga Pertubuhan Peladang, di sini hari ini.

Tambah Zahari, kerajaan negeri juga sedang merencana pelbagai usaha lain bagi memastikan masalah bekalan beras tempatan tidak berpanjangan khususnya di negeri ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI