fbpx

Janji PBB hapuskan kemiskinan tegar global makin pudar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KELUARGA miskin di Lahj, selatan Yemen menerima bantuan makanan seperti gandum, beras, minyak masak dan gula pada 29 Mac 2022. – AFP

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York – Barisan pemimpin dunia bertemu di ibu pejabat PBB semalam bagi menghidupkan semula janji untuk menghapuskan kemiskinan tegar ketika negara-negara lemah berdepan pelbagai krisis.

Mereka bertemu pada sidang kemuncak pembangunan SDG menjelang Perhimpunan Agung PBB hari ini. Sidang kali ini bagaimanapun berkemungkinan dibayangi ketegangan geopolitik yang diserlahkan oleh kehadiran Presiden Volodymyr Zelenskyy di ibu pejabat PBB, New York.

Dalam tahun 2015, PBB bersetuju melaksanakan Matlamat Pembangunan Lestari merangkumi 17 sasaran untuk me­ngubah dunia menjelang 2030 termasuk menghapuskan sama sekali kemiskinan tegar dan memastikan tiada seorang pun daripada 8 bi­lion penduduk dunia yang kelaparan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, sidang kemuncak semalam bertujuan mencari ‘pelan penyelamatan global’ untuk sasaran tersebut.

Katanya, hanya 15 peratus objektif yang dipersetujui bersama itu berada dalam capaian sedangkan sebahagian lagi tersasar.

“Matlamat PBB tersebut tentang harapan, impian, hak dan jangkaan warga dunia serta ke­sejahteraan alam semula jadi kita.

“Ia mengenai membetulkan apa yang selama ini salah, menyembuhkan perpecahan global dan meletakkan dunia di laluan keamanan berkekalan,” kata Guterres.

Usaha menyalurkan dana dan memberi tumpuan pada matlamat PBB itu berulang kali tergendala disebabkan pelbagai peristiwa termasuk pandemik Covid-19, perang Ukraine, bencana iklim yang semakin buruk dan lonjakan kos sara hidup.

“Sidang kemuncak PBB ini menjadi gelanggang penting untuk kita merangka perubahan.

“Pemimpin-pemimpin dunia perlu bertanggungjawab, menyahut gesaan mereka di barisan hadapan dan menggunakan masa ini untuk mendengar, membuat ulasan bermakna dan menyusulinya dengan tindakan sebebar,” kata Presiden badan amal antikemiskinan Oxfam Amerika, Abby Maxman

Beliau berkata, antara langkah penting adalah negara-negara kaya mendokong pembaharuan institusi-institusi ekonomi bagi menangani bebanan hutang yang amat membelenggu negara-negara membangun.

“Namun, persoalannya apakah SDG kali ini berdaya menghidupkan semula harapan, optimisme dan keghairahan seperti yang diharapkan.

“Peningkatan autoritanisme, demokrasi yang semakin pudar di samping persaingan geostrategik dan tekanan ekonomi cende­rung menutupi isu teras berkaitan perubahan iklim dan pembangunan global,” kata pakar Pusat Strategik dan Pengajian Antarabangsa di Washington, Noam Unger pula.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) yang menyalurkan bantuan ketenteraan mencecah AS$43 bilion (RM201 bilion) bagi membantu pertahanan Ukraine daripada pencerobohan Russia berharap ia juga menunjukkan minat pada sidang tersebut

“Penduduk dunia yang paling terjejas meletakkan harapan kepada kita, seperti gadis yang saya temui di Chad. Dia melarikan diri daripada keganasan di Sudan dan terpaksa meninggalkan ­keluarga serta pendidikannya,” kata Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield

Bagaimanapun, seorang diplomat kanan Eropah memberi amaran bahawa jurang antara negara maju dan membangun semakin besar.

“Salah satu matlamat sidang ini adalah memastikan supaya ­jurang ini tidak terus berkembang,” katanya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI