MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyuarakan kebimbangan berhubung jadual padat yang perlu dihadapi menjelang aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara menentang Red Star Belgrade di Stadium Etihad awal pagi esok.
Sebelum September berakhir, The Citizens perlu berdepan empat lagi perlawanan termasuk aksi menentang Red Star selain bakal bertandang ke St. James Park menentang Newcastle United pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL).
Ketiadaan beberapa pemain utama seperti Kevin De Bruyne, Mateo Kovacic dan Jack Grealish akibat kecederaan turut mengundang resah buat Guardiola bagi memilih kesebelasan utama juara Eropah itu dalam setiap perlawanan.
“Inilah salah satu masalah yang perlu dihadapi sekiranya anda berdepan banyak kecederaan pemain. Mungkin ia tidak beri kesan serta-merta tetapi ia bakal memberikan masalah kepada pasukan pada perlawanan-perlawanan akan datang.
“Saya minta maaf kepada penyokong kerana saya mungkin turunkan pasukan kedua dalam beberapa perlawanan terdekat. Keputusan ini terpaksa dibuat kerana saya tidak mahu ambil risiko terhadap kecergasan pemain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menganggap perlawanan antarabangsa sebelum ini turut menjadi punca pemain-pemain berdepan risiko kecederaan kerana tempoh rehat terlalu singkat sebelum kembali ke kelab masing-masing.
“Ada pemain-pemain dari Amerika Selatan yang terpaksa menempuh penerbangan hampir 12 atau 13 jam dan ia sangat memenatkan. Bagi saya, kita tidak bertanggungjawab dalam menguruskan kebajikan pemain,” ujar Guardiola. – AGENSI