IPOH – Dua individu dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas selepas dipercayai terhidu gas ammonia yang bocor di sebuah kilang ais di Persiaran Industri Rapat di Simpang Pulai di sini hari ini.
Dua mangsa terlibat iaitu seorang wanita berusia 33 tahun dan lelaki berusia 25 tahun yang merupakan pekerja di kilang bersebelahan telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.11 pagi.
Katanya, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dibantu pasukan dari Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) BBP Pasir Puteh dengan kekuatan 19 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Maklumat daripada penyelia kilang, terdapat kebocoran pada paip saluran gas ammonia di mana bau gas tersebut boleh dihidu pada jarak antara 30 hingga 90 meter.
“Pasukan Hazmat segera membuat penilaian risiko di lokasi kejadian dan membuat teknik ‘water curtain’ dengan anggota masuk ke kawasan dikenal pasti bagi menutup kebocoran pada bahagian injap tangki,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pada peringkat awal, bacaan gas ammnonia dalam kawasan premis itu adalah pada 500ppm (parts per million) dan setakat pukul 2.30 petang ini, jumlah bacaan itu dapat dikurangkan pada 300ppm.
Katanya, operasi masih dijalankan bagi meneutralkan bacaan gas ammonia di dalam kilang menggunakan beberapa kaedah termasuk bilas dan pencairan (flushing dan dilution).
“Bacaan awal mencatatkan sekitar 500ppm dan kini turun kepada 300ppm, bagaimanapun bacaan terkini itu tidak stabil. Operasi masih diteruskan dengan mengambil bacaan secara berkala sehingga kilang itu selamat sepenuhnya untuk pekerja dan kawasan sekitar,” katanya. – KOSMO! ONLINE