SHAH ALAM – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi penggal ke-15, hari ini.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Bahagian DUN Selangor, J. Gayathri Prasena selepas proses undian di kalangan ADUN Selangor.
Weng San menggantikan Ng Suee Lim (DAP – Sekinchan) yang telah dilantik sebagai Exco Selangor.
Speaker boleh dilantik dalam kalangan bukan ahli Dewan Negeri mengikut Fasal 1(b) Perkara 71, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Pada pemilihan itu, Weng San, 45, memperolehi 34 undi berbanding Timbalan Pesuruhjaya Pas III Selangor, Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mohd. Salleh hanya 22 undi.
Terdahulu, Weng San dicadangkan Suee Lim sebelum disokong V. Papparaidu (DAP- Banting).
Manakala, blok pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) menerusi Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (Pas – Sijangkang) mencadangkan Mohd. Fuad dan disokong Datuk Abdul Rashid Asari (Bersatu- Selat Klang).
Weng San yang merupakan Setiausaha Organisasi DAP Selangor itu kemudiannya mengangkat dan menandatangani surat sumpah di hadapan 56 ADUN.
Sebelum ini, DAP mahu Weng San dipilih sebagai Speaker DUN sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan di Selangor.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menjelaskan, perkara itu dinyatakan sebagai syarat apabila DAP diminta menyerahkan kerusi DUN Dusun Tua kepada BN.
Terdahulu, pemilihan itu sedikit kecoh apabila Ahmad Yunus membangkitkan mengenai peletakkan nombor pada kertas undi calon speaker sebelum disokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ( Bersatu- Hulu Kelang).
Namun, perkara itu mendapat bantahan daripada beberapa ADUN blok kerajaan termasuk Azmizam Zaman Huri (PKR – Pelabuhan Klang) yang menganggap ia cuma sekadar nombor dan tidak memberikan kesan dalam aspek pemilihan.
Mohamed Azmin turut mencadangkan agar pengiraan undi bagi pemilihan speaker itu dilakukan secara telus menerusi ejen pengiraan atau Gayathri Prasena menunjukkan satu persatu nama yang dipilih ADUN.
Sementara itu, pada mesyuarat pertama penggal ke-15 DUN Selangor itu turut menyaksikan Timbalan Speaker disandang Mohd. Kamri Kamaruddin (PKR) yang merupakan ADUN Bukit Antarabangsa.
Kesemua 56 ADUN Selangor dimulai ADUN Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari yang merupakan Menteri Besar Selangor turut melakukan upacara angkat dan tandatangani surat sumpah pada mesyuarat DUN berkenaan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor sebelum ini, PH-BN memenangi 34 kerusi seterusnya membolehkan pembentukan kerajaan negeri berbanding PN hanya 22 kerusi. -KOSMO!ONLINE