fbpx

DUN Selangor: PN tubuh 10 portfolio semak imbang kerajaan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Azmin ( tengah) ketika sidang akhbar bersama ADUN PN di lobi DUN Selangor, hari ini.-Foto AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) menubuhkan 10 jawatankuasa portfolio Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor selaras prinsip semak dan imbang terhadap kerajaan negeri ini.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini supaya pemfokusan perbincangan dan perbahasan terhadap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dapat dilakukan terhadap isu-isu dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Langkah ini agar peranan blok pembangkang memainkan peranan efektif dan berkesan supaya suara rakyat negeri ini dibawa ke DUN Selangor.

“Pendekatan ini diambil selaras ikrar dan janji kami (PN) dalam memberikan khidmat terbaik melalui perbahasan dan perbincangan dalam sidang DUN ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pertama (angkat sumpah)penggal pertama DUN Selangor, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang memberitahu, beliau akan memegang portfolio Kewangan, Ekonomi, Tanah dan Sumber Alam sementara Datuk Dr. Halim Tamuri ( ADUN Paya Jaras) mengetuai Pendidikan dan Sumber Manusia.

Beliau yang diumumkan sebagai Ketua Pembangkang DUN Selangor menjelaskan ADUN Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh pula bertindak dalam portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Infrastruktur: ADUN Taman Medan, Dr. Afif Bahardin (Kesihatan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim); ADUN Batang Kali, Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani (Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Industri Digital).

Turut memegang portfolio adalah ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham (Generasi Muda dan Sukan); ADUN Semenyih, Nushi Mahfodz (Agama Islam dan Pembangunan Desa); Sallehen Mukhyi yang merupakan ADUN Sabak (Pertanian dan Industri Agromakanan).

“Bagi portfolio Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Perpaduan diketuai Nurul Syazwani Noh serta ADUN Bukit Melawati, Datuk Noorazley Yahya akan memegang portfolio Pelancongan dan Kebudayaan Warisan Melayu.

“Setiap portfolio itu akan dibantu tiga jawatankuasa lain yang juga dianggotai ADUN yang tidak mengetahui mana-mana portfolio itu berdasarkan pengalaman, kemahiran dan latar belakang masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, beberapa perkara telah dibangkitkan kepada Speaker dan Setiausaha DUN Selangor supaya peraturan tetap DUN negeri ini dapat diperkemaskan lagi.

“Kita mahu perjalanan majlis mesyuarat Dewan Negeri Selangor dijalankan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 dan peraturan tetapnya,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI