KUALA KRAI – Dua murid tahun lima yang dipercayai membuli rakan mereka di luar bilik darjah di sebuah sekolah di sini pada minggu lalu sehingga video perbuatan mereka tular di media sosial akan dipanggil polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, kedua-dua kanak-kanak berusia 11 tahun itu akan diambil keterangan selepas bapa mangsa membuat laporan polis kira-kira pukul 10.55 pagi semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.10 tengah hari pada 14 September lalu.
“Mangsa ketika itu berada di luar bilik darjah di sebuah sekolah di sini sebelum didatangi kedua-dua suspek yang bertindak memukulnya.
“Pemeriksaan pakar perubatan terhadap mangsa mendapati dia tidak mengalami sebarang kecederaan, namun ada kesan lebam pada badan kanak-kanak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suzaimi memberitahu, kedua-dua suspek yang memukul mangsa juga merupakan murid di sekolah tersebut dan mereka akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini untuk diambil keterangan.
Menurutnya, pihak sekolah sudah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 14 saat yang memaparkan kejadian seorang murid lelaki dibuli dua rakan di bangunan belakang sekolah mereka.- KOSMO! ONLINE