JAKARTA – Aksi seorang wanita berpura-pura memberi bungkusan barang keperluan kepada seorang warga emas mengundang kecaman netizen apabila dia didapati berbuat kebaikan demi kandungan media sosial.
Laman berita Tribunnews melaporkan, video tular itu menunjukkan seorang wanita berbaju kuning menghampiri warga emas yang sedang duduk di tepi rumahnya.
Dia menyerahkan sebuah bungkusan dikatakan berisi barangan keperluan dapur kepada warga emas tersebut sambil merakam aksi itu menggunakan telefon bimbit.
Wanita berkenaan turut mengarahkan warga emas itu supaya tersenyum ke arah kamera.
Selepas semuanya selesai, wanita sama mengambil kembali bungkusan tersebut lantas berlalu pergi, meninggalkan warga emas itu dalam keadaan terpinga-pinga.
Video itu menjadi tular dan menerima kecaman orang ramai yang mengkritik wanita tersebut.
“Hairan dengan orang zaman sekarang. Mereka melakukan sesuatu tetapi hanya untuk tujuan ‘content’,” kata seorang netizen.
“Tiada adab. Sudah hilangkah hati nurani anda?” kata netizen lain. – AGENSI