fbpx

Bot pukat rawa sorong ditahan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot pukat rawa sorong yang ditahan APMM di Pulau Sangga Besar dekat Bagan Serai kelmarin.

BAGAN SERAI – Sebuah bot pukat rawa sorong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau di kedudukan 5.5 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar dekat sini kira-kira pukul 9.50 malam kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, pasukan bot peronda APMM diatur gerak ke lokasi tangkapan sejurus Pusat Operasi (Pusop) Zon Maritim Kuala Kurau menerima aduan awam berkaitan bot tersebut.

“Hasil pemeriksaan menemukan dua orang nelayan tempatan termasuk tekong berumur 49 dan 55 tahun berada di bot terbabit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan tidak memiliki lesen yang sah dan disyaki menggunakan pukat rawa sorong sebagai peralatan untuk menangkap ikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana mengoperasikan vesel penangkapan ikan tanpa lesen yang sah dan Seksyen 11 (3)(b) akta yang sama iaitu memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan,” katanya.

Tambah beliau, APMM menyeru kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan ekosistem.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut boleh dilaporkan orang ramai kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian05-7279919 atau MERS 999 untuk tindakan segera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI