PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, di New York, Amerika Syarikat bermula 19 hingga 26 September ini.
Perhimpunan Agung PBB atau United Nations General Assembly (UNGA) adalah mesyuarat tahunan yang dianggotai 193 negara dan dua negara pemerhati.
Sebanyak 99 ketua negara, 58 ketua kerajaan dan 35 Menteri dijangka menyampaikan kenyataan negara masing-masing pada sesi Perbahasan Umum kali ini.
Tema perbahasan tahun ini ialah Membina Semula Kepercayaan dan Menghidupkan Semula Perpaduan Global: Mempercepatkan Tindakan Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ke Arah Keamanan, Kemakmuran, Kemajuan dan Kemampanan Untuk Semua.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata, selaras dengan tema, Anwar akan berkongsi usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim dan mengambil tindakan ke arah mencapai Agenda 2030.
“Anwar juga akan memberi pandangan mengenai pelbagai isu global dan peranan yang perlu dimainkan oleh masyarakat antarabangsa dalam mengatasi pelbagai cabaran bersama.
“Ramai pemimpin negara lain yang ditemui sebelum ini menyatakan bahawa mereka menanti-nantikan ucapan Perdana Menteri pada sidang kali ini atas pengalaman dan kepimpinan yang dimiliki,” katanya.
Justeru, Anwar dijadualkan menyampaikan kenyataan negara pada pukul 10 pagi Jumaat ini (22 September) waktu tempatan bersamaan pukul 10 malam waktu Malaysia.
Anwar turut dijadual menyampaikan khutbah solat Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY) menjadikan beliau pemimpin asing pertama diberi penghormatan sedemikian. – KOSMO! ONLINE