KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak yang menuduh beliau campur tangan dalam kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya mengemukakan bukti.
Anwar turut meminta mereka membuktikan beliau mengarahkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memerintahkan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
“Dalam beberapa kes termasuk ahli Yang Berhormat di sebelah sana (pembangkang) pun ada kes prima facie, tetapi dibuang.
“Keputusan Peguam Negara budi bicara dia. Kenapa tuduh melulu dan kurang sopan menyerang Perdana Menteri,'” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Dewan Rakyat petang tadi.
Anwar turut menjelaskan, Peguam Negara yang membuat keputusan membabitkan kes Ahmad Zahid adalah Peguam Negara yang dipilih kerajaan terdahulu.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan siasatan diteruskan dan kalau ada bukti tambahan akan teruskan pendakwaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE