fbpx

Anjing pengesan Blake sudah tiada, hidap barah limfoma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Blake (kiri) pernah terlibat dengan SAR mangsa tanah runtuh di Batang Kali, Disember tahun lalu.

PETALING JAYA – Seekor anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Blake, terpaksa ditidurkan (euthanized) selepas dikesan menghidap barah limfoma.

Menerusi satu kenyataan dari JBPM, Blake dari disiplin Cadaver itu telah didiagnosis menghidap barah limfoma tahap empat pada 15 Ogos lalu dan terpaksa ditidurkan pada pukul 4.38 petang semalam.

“Blake dimasukkan sekali lagi ke wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, University Putra Malaysia (UPM) pada 14 September lalu apabila didapati hilang selera makan dan kelesuan.

“Selain itu, ia bertujuan untuk mendapatkan perkembangan berkaitan barah dihadapi,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, sepanjang berada di wad, Blake gagal memberi respons kepada ubat dan rawatan yang diberikan oleh pihak veterinar.

Malahan katanya, barah limfoma yang dikesan pada anjing tersebut juga semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan membesar.

“Hasil perbincangan bersama Pakar Veterinar, Dr. Nur Alimah Rahman, pihak jabatan bersetuju dengan keputusan untuk menidurkan Blake kerana kesihatannya yang merosot secara mendadak.

“Selain itu, ia tiada harapan dipulihkan serta bagi mengelakkan anjing ini menderita daripada kesakitan dan mengambil kira kebajikannya,” jelas kenyataan itu.

Blake merupakan anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada tahun 2017.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Blake yang pernah terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Batang Kali Disember tahun lalu, terpaksa direhatkan selepas kepenatan akibat kerja lebih masa.

JBPM berkata, Blake ketika itu ‘kecundang’ setelah dua hari berturut-turut bekerja bertungkus lumus menjejak mangsa terlibat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI