KUALA LUMPUR – Pengeluar air mineral jenama tempatan, Bubble O2 menyasarkan untuk menembusi pasaran luar negara termasuk beberapa negara Asian dan Timur Tengah dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini sehingga 2025.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bubbles O2 Sdn. Bhd., Ain Azizah Arifin berkata, antara negara tersebut seperti Kanada, Indonesia, Thailand serta negara-negara di Timur Tengah yang menjadi sasaran untuk pemasaran air mineral beroksigen tinggi keluaran syarikat itu.
Menurutnya, pada masa ini, Bubble O2 telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti di Brunei dan Dubai.
“Malah, kita juga bakal memasuki pasaran Amerika Syarikat iaitu di San Francisco serta Puerto Rico yang mana kita dalam persiapan produk untuk dihantar ke sana menjelang suku pertama 2024.
“Ini dilaksanakan melalui kolaborasi dan perkongsian dengan pihak yang terlibat di sana,” katanya pada sidang akhbar Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan Bubbles O2 sempena Petronas Le Tour de Langkawi 2023 (Petronas LTdL 2023) di Menara Pernas, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd. Sidek.
Dalam pada itu, Ain Azizah berkata, pihaknya turut melakukan persediaan menerusi pasaran baharu yang disasarkan di Kanada, Indonesia, Thailand serta negara-negara di Timur Tengah.
“Sehubungan itu, menerusi tajaan pada penganjuran Petronas LTdL 2023, ia merupakan usaha pihak syarikat dalam meningkatkan tahap keyakinan bagi membawa jenama Bubble O2 ke peringkat antarabangsa sebelum ke pasaran.
“Untuk penajaan bagi Petronas LTdL 2023, nilai pelaburan kita melibatkan kira-kira RM800,000 tunai serta RM200,000 berbentuk produk (4,000 karton air),” katanya. – KOSMO! ONLINE