PUTRAJAYA – Seramai 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan daripada 95 orang yang diperiksa dalam operasi penguatkuasaan bersepadu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah penempatan haram, di Puncak Alam, Selangor, Sabtu lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam operasi yang dijalankan pada pukul 2 pagi itu berjaya menahan 14 lelaki, perempuan (22) manakala kanak-kanak lelaki (seorang) dan perempuan (dua).
Katanya, kesemua mereka yang ditahan itu merupakan warganegara Indonesia berumur lingkungan dua hingga 52 tahun.
“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Baki 56 orang yang diperiksa tidak ditahan kerana mereka mempunyai slip pendaftaran program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jelasnya, pada operasi disertai seramai 110 orang pegawai daripada pelbagai bahagian penguatkuasaan berdepan situasi mencabar ekoran penempatan haram ini berada jauh di dalam hutan dari laluan utama dan dikelilingi cerun yang curam.
“Pasukan operasi terpaksa berjalan kaki di dalam gelap hampir 15 minit untuk sampai ke penempatan haram tersebut melalui jalan hutan.
“Terdapat banyak lorong-lorong yang tersembunyi bagi memudahkan PATI meloloskan diri dari ditangkap.
“Semasa serbuan terdapat PATI yang cuba melarikan diri melalui lorong-lorong hutan dan melompat ke cerun-cerun yang curam. Tindakan mereka ini boleh membahayakan keselamatan diri sendiri,” ujarnya.
Ruslin berkata, berhubung serbuan itu juga pihaknya akan memanjangkan maklumat dan laporan penempatan haram ini kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang
berkenaan untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE